GURU INSPIRASI PENCETUS REVOLUSI

GURU INSPIRASI PENCETUS REVOLUSI
Assalamualaikum, kami merupakan pelajar pengkhususan Prasekolah Ambilan Januari 2012 dari IPG-KPI, Bangi, Selangor. Nama diberi Rabiatul Adawuia Hj Mursidi (Are-Tol) dan Nur Haziqah Mahirah Ruhizat (Zie-Qah). Blog ini dibina sebagai saluran maklumat untuk kegunaan profesion perguruan terutama kepada bakal guru yang ingin mengurus bilik darjah dengan berkesan. Semoga apa yang dikongsi sangat bermanfaat kepada anda semua.

Bakal Cikgu Prasekolah

Bakal Cikgu Prasekolah
ARe-TOl

Bakal Cikgu Prasekolah

Bakal Cikgu Prasekolah
zIe-Qa

Powered by Blogger.

Anda Komen, Kami Jawab! Silakan...

Sunday, 17 March 2013

KONKLUSI



Konklusinya, guru ibarat sebatang pensil warna yang akan mencorak warna warni kehidupan anak muridnya. Sesungguhnya, kewibawaan seorang guru dalam mengurus bilik darjahnya akan mempengaruhi emosi murid di dalam kelas tersebut. Terdapat pelbagai jenis emosi murid ketika berada di kelas seperti gembira, sedih, marah, murung, simpati..........dan.........? Lihat gambar mimik muka murid di bawah ini : 
Gambar : Kepelbagaian mimik muka murid. 



3 AKTIVITI DI DALAM BILIK DARJAH



AKTIVITI 1 : "Mari Bersama Robot!".
  • Melalui aktiviti ini, sebelum guru memulakan pengajaran dan pembelajaran di kelasnya, guru tersebut akan menunjukkan sebuah robot di hadapan muridnya. Keistimewaan robot ini ialah tahu berkomunikasi, menari, ketawa dan menangis. Oleh itu, murid-murid yang berkeliaran dan bising di dalam kelas akan terpegun dan teruja melihat aksi robot ini. Dalam aktiviti ini, murid diminta menari bersama-sama guru mengikut gerak tarian yang dilakukan robot sambil diiringi muzik. Murid-murid juga dibenarkan berkomunikasi dengan robot tersebut. Selepas berhibur, barulah proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan di dalam bilik darjah.

Gambar : Aksi Robot

AKTIVITI 2 : "I Love To Sing".
  • Bagi menarik minat murid agar menumpukan perhatian semasa guru mengajar, aktiviti nyanyian yang diberi nama "I Love To Sing" dilaksanakan terlebih dahulu. Melalui aktiviti ini, guru akan menyanyi dengan menggunakan alat perkusi gitar untuk memainkan lagu "Tanya Sama Pokok". Di sini, murid diminta untuk bersama-sama menyanyikan lagu tersebut sambil menepuk tangan mengikut detik lagu berkenaan.
  • Lirik lagu "Tanya Sama Pokok" :
Tanya Sama Pokok, Apa Sebab Goyang
Nanti Jawab Pokok, Angin Yang Goncang
Tanya Sama Angin, Apa Sebab Hujan
Nanti Jawab Angin, Tanyalah Awan.

Awan Nanti Kata, Aku Kandung Air
Sampai Tempat Teduh, Aku Pun Cair
Lihat Dalam Air, Nampak Bayang-Bayang
Campak Satu Batu, Bayang Pun Hilang.

Gambar : Murid akan berasa seronok apabila aktiviti nyanyian diadakan sebelum pengajaran dan pembelajaran dijalankan. 

AKTIVITI 3 : "Oh, Dunia Ku Timbul". 
  • Aktiviti ini meminta murid memakai cermin mata 3D untuk melihat wayang yang dipaparkan pada skrin projektor di hadapan kelas. Wayang yang dipaparkan mestilah mempunyai nilai pengajaran yang baik dan memberi kesan positif kepada murid. Sebagai contoh, filem barat "Home Alone" merupakan filem kanak-kanak yang mampu memberangsangkan minda murid supaya berfikiran cerdik dan berhati-hati dengan orang yang tidak dikenali. Walaubagaimana pun, wayang yang hendak ditayangkan hanyalah sedutan-sedutan sinopsis jalan cerita secara ringkas di mana terdapat unsur pengajaran dipaparkan. Dengan adanya cermin mata 3D, wayang yang dilihat kelihatan timbul seperti berlaku pada situasi sebenar, iaitu di hadapan mata. Hal ini akan membuatkan wayang tersebut lebih menarik dan mengujakan murid. Aktiviti ini sesungguhnya dapat menarik minat murid agar bersedia untuk memulakan pembelajaran di bilik darjah.



Gambar : Kelihatan murid begitu teruja memakai cermin mata 3D yang disediakan. 


Gambar : Kanak-kanak cerdik dalam wayang "Home Alone".








KESAN DARIPADA MASALAH DISIPLIN



Adakah anda tahu bahawa antara kesan yang menakutkan daripada masalah disiplin di dalam bilik darjah ialah terbawa-bawa hingga ke masalah disiplin sekolah. Hal ini kerana pembentukan nilai-nilai murni dalam kalangan murid bermula dari bilik darjah. Sekiranya dalam membentuk peribadi murid ke arah kebaikan ini gagal, maka tidak mustahil murid tersebut mempunyai masalah disiplin di sekolah. 
      Oleh itu, bukanlah sesuatu perkara yang menghairankan jika terdapat murid sekolah yang bergaul dengan budak samseng luar sekolah, malah terpengaruh dengan tingkah laku mereka. Sebagai contoh dalam filem Japan "Crows Zero", pelajar sekolah yang tidak diberi perhatian oleh guru-gurunya semasa di bilik darjah mahu pun di sekolah, akhirnya pelajar berkenaan bergaul dengan ahli kongsi gelap dan sering terlibat dalam pergaduhan di dalam dan luar sekolah. 
Gambar : Contoh gambar di atas ialah sedutan dari filem Japan yang bertajuk "Crows Zero". Melalui filem tersebut, kita boleh lihat pelajar yang tidak diberi perhatian oleh gurunya menyebabkan dirinya terpengaruh dengan budaya samseng luar sekali gus bergaul dengan ahli kongsi gelap. 



MASALAH DISIPLIN YANG BERLAKU DI BILIK DARJAH



Antara contoh-contoh masalah disiplin ialah :
  • Tidak memberikan perhatian. Sebagai contoh menggangu rakan, bercakap, makan dan tidur di dalam kelas. 
  • Keluar dari bilik darjah tanpa kebenaran. 
  • Kerap masuk lewat ke kelas. 
  • Kerap tidak membawa buku latihan atau buku teks. 
  • Sering ditegur kerana tidak menyiapkan tugasan. 
  • Besikap biadap terhadap guru. 
  • Berlari dan menjerit di dalam kelas atau di koridor bilik darjah. 
  • Membuli rakan sekelas seperti mengambil barang kepunyaan rakan atau menconteng buku latihan rakan. 
Gambar : Contoh masalah disiplin dalam kalangan murid sekolah pada masa kini. 


Apakah iktibar dari gambar-gambar yang ditunjukkan? Apa pula yang perlu dilakukan oleh murid lain? 

Gambar : Murid perlulah melaporkan kejadian masalah disipilin yang berlaku kepada pihak sekolah. 







Saturday, 16 March 2013

MODEL PENGURUSAN DISIPLIN


Sebelum kita mengetahui apa yang dimaksudkan dengan Model Pengurusan Disiplin, biar kita lihat pengertian kata bagi disiplin terlebih dahulu. Berikut merupakan definisi kata disiplin : 
  • Perkataan Latin - 'disciplina' yang bermaksud mengajar.
  • Kamus bahasa - Kawalan yang diperoleh daripada penguatkuasaan peraturan. 
  • Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979) - Kesanggupan individu menghormati dan mematuhi undang-undang sama ada disiplin dikenakan dari luar atau dengan kerelaan sendiri. 
  • Konteks bilik darjah - Peraturan yang dikenakan kepada murid untuk mengawal dan mendapatkan tingkah laku yang diingini.
Seterusnya mari kita lihat konsep bagi Model Pengurusan Disiplin. Model ini berkaitan tentang pengurusan disiplin dan tingkah laku dengan menggunakan pendekatan yang berbeza. Pendekatan yang berbeza merujuk kepada lima jenis Model Pengurusan Disiplin, iaitu : 
  1. Model Modifikasi Tingkah Laku (B.F. Skinner)
  2. Model Disiplin Asertif (Lee Canter)
  3. Model Akibat Logikal (Rudolf Dreikurs)
  4. Model Pengurusan Kelompok (Jacob S. Kounin)
  5. Model Terapi Realiti (William Glasser) 
Berikut merupakan konsep lima jenis Model Pengurusan Disiplin :
Model Modifikasi Tingkah Laku (B.F Skinner)
  • Menggunakan prinsip peneguhan sebagai elemen-elemen luaran untuk meningkatkan tingkah laku yang diingini. 
Model Disiplin Asertif (Lee Canter)
  • Berasaskan peneguhan terhadap tingkah laku yang diingini dan penerimaan murid terhadap akibat daripada tingkah laku yang ditunjukkan. 
Model Akibat Logikal (Rudolf Dreikurs)
  • Menekankan tanggungjawab guru dalam mengenal pasti punca salah laku. 
  • Murid perlu dibimbing untuk memahami peraturan di dalam bilik darjah dan dilatih untuk mendapat kawalan kendiri terhadap pengurusan disiplin bilik darjah. 
  • Murid dan guru bersama-sama memikul tanggungjawab dalam pengurusan disiplin bilik darjah agar amalan demokrasi perlu diaplikasikan. 
Model Pengurusan Kelompok (Jacob S. Kounin)
  • Menekankan kepada pengawasan dan penyeliaan yang teliti guru dalam pengurusan bilik darjah. 
  • Guru perlu memberi teguran yang jelas, tepat, tegas dan mengenal pasti punca sebenar salah laku. 
  • Kelancaran dan pelaksaanaan aktiviti perlu dilakukan guru untuk mengurus bilik darjah dengan baik. 
Model Terapi Realiti (William Glasser) 
  • Memberi peluang terhadap setiap tingkah laku yang ditunjukkan individu berasaskan pilihan yang dibuat sendiri. Pilihan yang dibuat adalah berdasarkan keperluan-keperluan asas mereka. 

Saturday, 9 March 2013

CIRI-CIRI BILIK DARJAH YANG UNGGUL


Saiz bilik darjah yang luas berukuran kira-kira 7 x 9 meter. Bilik darjah juga mempunyai pencahayaan dan pengudaraan yang baik. 

Bilangan murid sekurang-kurangnya 40 orang dalam sebuah bilik darjah.

Ketinggian kerusi meja perlulah sesuai dengan ketinggian murid. Susunan kerusi meja juga fleksibel dan sesuai. 

Terdapat ruang aktiviti di dalam bilik darjah. 

Peraturan bilik darjah tidak terlalu banyak agar mudah dipatuhi. 



Wujudnya kemesraan, kepercayaan dan penghormatan dalam suasana bilik darjah. Hubungan sesama murid dengan guru dan murid dengan murid adalah baik. 


Murid diberi kebebasan bergerak semasa menjalankan aktiviti pembelajaran yang produktif. 

Murid-murid digalakkan membuat uji kaji sendiri untuk mendapatkan sesuatu rumusan. Peranan guru ialah tidak memberikan jawapan terus kepada murid. 

Kumpulan-kumpulan kecil murid dibentuk agar lebih memudahkan proses pemulihan dan pengayaan dilaksanakan di bilik darjah. 


CIRI-CIRI GURU YANG EFEKTIF

   

Seperti yang kita tahu tugas sebagai guru bukan mudah. Hal ini kerana profesion ini memerlukan komitmen yang tinggi dalam menjaga, mendidik atau membimbing pelajar sehingga mereka mencapai kejayaan dan bersedia untuk menghadapi cabaran pada masa akan datang. 

Berikut merupakan ciri-ciri guru yang efektif dalam pengurusan bilik darjah, iaitu : 
i) Kualiti Peribadi 
  • Kualiti peribadi merujuk kepada seorang guru yang begitu proaktif, yakin dan sentiasa bersemangat sehingga mampu memotivasikan muridnya untuk belajar. 
  • Guru yang peka dan sensitif akan keperluan muridnya, iaitu terhadap perbezaan cara  atau gaya pembelajaran mereka. Hal ini kerana tidak semua murid mampu menguasai pembelajaran yang diajar. Oleh itu, guru berperanan mengubah suai cara pengajaran nya mengikut kesesuaian agar peluang pembelajaran adalah untuk semua murid. 
  • Sikap guru yang peramah, mesra dan berusaha untuk mengenali muridnya. Sesungguhnya, murid yang berasa dirinya dikenali guru, akan menunjukkan tingkah laku yang positif. Hal ini disebabkan mereka berasa dihargai dan sebahagian daripada komuniti dalam bilik darjah. 
  • Guru yang memiliki sifat kasih-sayang, hormat-menghormati dan kemanusiaan yang tinggi. 

Pernahkah anda menonton wayang Japan yang bertajuk "Gokusen?". Jika pernah, sudah tentu anda tahu ciri-ciri perwatakan yang ada pada guru wanita dalam wayang tersebut bukan? 



Gambar : Seorang guru wanita yang perwatakan proaktif, yakin, bersemangat, peramah, mesra dan berusaha untuk mengenali anak muridnya. Kehadiran guru ini ke bilik darjah sangat memotivasikan muridnya untuk belajar.


ii) Kompetensi Pengajaran dan Pembelajaran 
  • Perkara ini merujuk kepada pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang dimiliki seorang guru dalam mendidik anak muridnya. 
  • Guru yang sentiasa berusaha mempelajari perkara-perkara baharu melalui pembacaan, menghadiri seminar, bengkel atau kursus yang diadakan. 
  • Guru yang tahu memilih strategi yang sesuai digunakan untuk mengajar murid-muridnya. Maka, guru ini akan mengambil berat tentang gaya pembelajaran yang berbeza untuk mereka. 
  • Kemahiran seorang guru dalam teknik penyoalan sehingga mampu memberangsangkan minda murid melahirkan buah fikiran untuk menjawab soalan. 
  • Guru yang berkebolehan mengendalikan kelas dengan lancar, iaitu dari segi transisi satu aktiviti ke aktiviti lain tanpa gangguan. 
  • Kemahiran guru dalam melakukan lebih dari satu perkara pada masa yang sama. 
  • Guru juga berkemahiran dalam pedagogi, iaitu dalam menerapkan nilai-nilai seperti bekerjasama, belajar mendengar dan menerima pendapat orang lain.  

Gambar : Guru yang mampu menggunakan strategi pengajaran yang sesuai di dalam bilik darjah dapat menarik minat murid untuk datang ke sekolah. 


iii) Penghayatan dan Amalan Nilai 
  • Perkara ini berkaitan dengan Kod Etika Profesion yang menyenaraikan beberapa prinsip, iaitu tanggungjawab terhadap murid, tanggungjawab terhadap ibu bapa, tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara, tanggungjawab terhadap rakan sejawat dan profesion perguruan. 
  • Selain Kod Etika Profesion, terdapat juga Falsafah Pendidikan Guru (FPG) yang merupakan panduan kepada para guru tentang ciri-ciri kualiti guru yang ingin dibentuk. Kandunga FPG ialah "Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara, menjamin perkembangan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. 

Antara ciri-ciri lain guru yang efektif dalam pengurusan bilik darjah, ialah : 
  • Mewujudkan suasana demokratik di dalam bilik darjah. Oleh itu, semua murid diberi hak dan layanan yang sama rata dan mereka boleh mengeluarkan apa jua pendapat.  
  • Guru bertanggungjawab sebagai pendidik atau fasilitator terhadap murid.  
  • Menimbulkan persekitaran saling mempercayai dan saling menghormati antara murid dengan guru dan murid dengan murid. 
  • Guru mestilah percaya bahawa setiap murid mempunyai kebolehan tersendiri untuk mencapai kejayaan. 
  • Bilik darjah merupakan suatu tempat yang seronok dan selamat untuk murid-murid. 
  • Pembelajaran berpusatkan murid. 
  • Mengamalkan komunikasi yang berkesan di dalam bilik darjah. Hal ini bermakna terdapat komunikasi dua hala antara guru dengan murid. 

Gambar : Sistem Komunikasi yang Berkesan (Komunikasi Dua Hala antara Guru dengan murid).

Friday, 8 March 2013

ASPEK MEMBUAT PERATURAN BILIK DARJAH



Ayat peraturan mesti ringkas dan jelas. 
  • Sekiranya ayat peraturan yang terlalu panjang dan berbelit, murid sukar untuk memahami serta mengingati peraturan tersebut. 

Peraturan yang dibentuk bermakna dan dipersetujui murid. 
  • Amalan demokrasi yang dilaksanakan oleh guru memberi peluang kepada murid untuk membentuk peraturan bersama dengan guru. Hal ini menjadikan mereka berasa dihargai kerana dianggap sebahagian daripada warga bilik darjah dan bukan hanya sebagai pemerhati. 

Bilangan peraturan dihadkan.
  • Peraturan yang terlalu banyak akan mengelirukan murid. 

Peraturan yang dibentuk bersifat adil dan positif. 
  • Dalam membentuk peraturan, elak menggunakan perkataan ‘jangan’. Hal ini menyebabkan murid cenderung melakukan perbuatan yang dicegah apabila menggunakan ayat 'jangan'. 

Mempamerkan peraturan pada ruang yang strategik di dinding bilik darjah. 
  • Faktor pemilihan ruang mestilah ruang yang sering dan mudah dilihat serta dibaca dengan jelas oleh murid. 


 

Gambar : Keadaan Bilik Darjah yang Tidak Mempunyai Peraturan, Akibatnya Murid-Murid Menjadi Liar pada Tahap Luar Kawalan.

PERATURAN & RUTIN BILIK DARJAH



Guru yang berkredibiliti akan membentuk peraturan dan prosedur (rutin) di dalam bilik darjahnya agar dapat mengurangkan gangguan, sebaliknya meningkatkan pembelajaran. 
    Menurut Haliza Hamzah dalam bukunya "Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku" (m/s30), peraturan bermaksud kenyataan yang memaklumkan tingkah laku yang boleh diterima di dalam bilik darjah. Peraturan juga merujuk satu peringatan dan autoriti kepada nilai moral murid-murid. 
    Seorang guru yang bijak akan mengambil peluang sebelum memulakan pengajarannya untuk berbincang dengan murid tentang pengurusan bilik darjah termasuklah peraturan dalam kelas. Peraturan perlu dijalankan secara konsisten agar berkesan. 
     Manakala, rutin bermaksud prosedur atau langkah-langkah yang mesti diikuti murid dalam aktiviti spesifik mereka di dalam bilik darjah. Rutin dibentuk bertujuan melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran. 


Contoh Peraturan Bilik Darjah : 
  • Pelajar mesti datang sebelum tempoh pengajaran dan pembelajaran bermula iaitu sebelum pukul 7.00 pagi. Tujuannya untuk proses pembersihan kelas harian. 
  • Pelajar dilarang untuk berada di dalam kelas semasa waktu rehat. 
  • Dilarang bermain atau membuat bising di dalam kelas. 
  • Pelajar hanya boleh keluar kelas dengan izin guru dan memakai pas keluar masuk kelas. 
  • Memberi sepenuh perhatian dan tumpuan semasa pengajaran dan pembelajaran. 
  • Dilarang makan dalam kelas. 

Contoh Rutin Bilik Darjah :
  • Pelajar harus membersihkan kelas mengikut jadual pembersihan yang telah disediakan. 
  • Secara bergiliran, setiap kumpulan mestilah menukar informasi dan bahan bacaan tambahan di papan kenyataan setiap minggu. 
  • Pelajar mestilah beratur masuk ke kelas setiap hari selepas waktu rehat. 
  • Mematikan suis setiap kali meninggalkan kelas. 
  • Menghormati guru iaitu member salam semasa guru masuk dan keluar kelas.

Konsekuen : 
Apabila murid melanggar peraturan kelas, murid akan :
  • Diberi nasihat. 
  • Diberi amaran. 
  • Diberi amaran kedua kali. 
  • Mengasingkan pelajar tersebut dengan membawanya keluar selama 5 minit. 
  • Dikenakan denda yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. 
  • Berjumpa dengan guru disiplin. 
  • Sekiranya masih ingkar, murid dikehendaki berjumpa dengan Guru Besar. 
  • Memanggil ibu bapa untuk berbincang dengan Guru Besar untuk menyelesaikan masalah disiplin anak-anak.

Thursday, 7 March 2013

DEFINISI & ELEMEN PENGURUSAN BILIK DARJAH



DEFINISI
Menurut Haji Samsudin bin Md Noor, pengurusan bermaksud satu proses mendapatkan penyertaan, kerjasama, dan campurtangan ahli untuk mencapai objektif organisasi atau kumpulan, gerak kerjanya termasuk proses merancang, mengelola, memimpin, mengarah dan mengawal. 

       Bilik darjah pula sebagai tempat berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran yang merupakan tempat terpenting di sekolah. Lebih penting lagi, bilik darjah dikaitkan sebagai medan perjuangan utama kerjaya seorang guru. Pengurusan bilik darjah dinamik ke arah pembinaan modal insan yang menjurus kepada pembinaan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS) memerlukan pelbagai pengetahuan, kemahiran, prosedur, teknik dan strategi. Oleh itu, guru perlu mempunyai gaya kepimpinan, kemahiran merancang, kecekapan mengurus, kepelbagaian dalam pengajaran dan pembelajaran, kebijaksanaan interpersonal, kemahiran berkomunikasi, kemahiran kaunseling dan mampu mengendalikan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). 

Berikut merupakan definisi Pengurusan Bilik Darjah mengikut pandangan sarjana : 

Jacob Kounin (1970) : 
  • Bilik darjah yang teratur bergantung kepada kemahiran guru mencegah masalah daripada berlaku dan bukannya menyelesaikan masalah yang telah berlaku. 

Marland (1975) :
  • Suasana fizikal bilik darjah merupakan 'kawan' atau 'musuh' dalam pembelajaran. 

Alberto & Troutman (1986) : 
  • Pengurusan bilik darjah boleh didefinisikan sebagai kemahiran guru menguruskan masa, ruang, sumber pembelajaran, peranan dan tingkah laku murid dalam menyediakan suatu iklim yang sesuai untuk pembelajaran. 

Lemlech (1988) : 
  • Pengurusan bilik darjah sebagai orkestra dalam kehidupan di bilik darjah yang memerlukan pembentukan kurikulum, penyelenggaraan prosuder dan sumber pengajaran. 

Richards (1990) : 
  • Organisasi dan kawalan guru ke atas tingkah laku, pergerakan serta interaksi murid semasa pembelajaran berlangsung supaya pengajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan. 

Guey R. Lefroncis (1999) : 
  • Sesuatu konsep yang komprehensif untuk pelbagai aktiviti guru yang dirancang dengan tujuan memudahcarakan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, merangkumi tindakan disiplin, rutin harian, penyusunan tempat duduk dan memperuntukkan masa pelajaran. 

Levin dan Nolan (2004) : 
  • Menurut mereka adalah mudah membezakan antara dimensi arahan dan pengurusan dalam pengajaran dan memberikan tumpuan kepada pentingnya aspek keberkesanan dalam pengurusan bilik darjah itu sendiri. 

Gambar : Suasana Bilik Darjah

ELEMEN 
Terdapat 5 elemen Pengurusan Bilik Darjah, iaitu : 
Merancang
  • Melalui perancangan, guru akan merujuk sukatan pelajaran bagi menentukan objektif dan hasil pembelajaran. Maka, guru dapat menentukan pendekatan, strategi dan kaedah mengajar yang paling sesuai berdasarkan perbezaan gaya pembelajaran murid. Selain itu, guru akan membentuk aktiviti yang sesuai dengan pencapaian murid. 

Mengelola 
  • Dalam mengelola, guru perlu memastikan kelancaran proses pembelajaran. Justeru, guru perlu memberi arahan yang jelas kepada murid. Sebagai contoh, arahan yang jelas penting semasa guru memaklumkan peraturan, prosedur dan mengatur aktiviti. 

Mengawal 
  • Elemen seterusnya ialah mengawal, iaitu bermaksud guru perlu memantau, memastikan muridnya selesa, cukup bahan pembelajaran dan sedang melibatkan diri dalam pembelajaran. Lebih penting lagi, dalam mengawal, guru perlu memastikan murid yang memerlukan bimbingan mendapat perhatian yang cukup. Sebaliknya, murid yang dapat menguasai konsep pelajaran diberi aktiviti pengayaan. 

Membuat refleksi
  • Seorang guru yang berkaliber akan menganalisis dan menilai keberkesanan pendekatan, strategi, kaedah mengajar dan bahan bantu belajar yang digunakan semasa proses pembelajaran dan pengajaran. Sekiranya keberkesanan kurang sesuai atau kurang mantap, guru mestilah bersedia membuat perubahan dan mencuba alternagtif lain. 

Menjalin hubungan guru-murid 
  • Hubungan antara guru dengan murid yang baik ialah apabila guru mengamalkan demokrasi di dalam bilik darjahnya. Kepentingannya ialah murid berpeluang membuat keputusan dalam pelbagai situasi. Hal ini menjadikan murid lebih rasa dihargai dan diberi perhatian yang cukup. Selain itu, mereka turut merasakan perasaan selamat, hormat, yakin dan sayang kepada guru. 
Gambar : Kepentingan 5 elemen pengurusan bilik darjah yang mesti diketahui oleh seorang guru ialah mampu menarik minat murid untuk belajar di dalam kelas. 


KONSEP BILIK DARJAH


KONSEP 
  • Pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan terdiri daripada lima hingga enam orang murid dan seorang mahaguru di kawasan bawah pokok besar (zaman dahulu). 
  • Sebuah surau atau pondok yang digunakan untuk pembelajaran al-Quran oleh kanak-kanak Melayu dan seorang imam (sebelum kedatangan British). 
  • Tempat proses pengajaran dan pembelajaran berlaku secara rasmi atau formal.
  • Sebuah bilik yang menempatkan sekumpulan murid dan diajar oleh seorang guru.
  • Bilik darjah yang dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan seperti kerusi-meja, papan tulis, bahan bantu belajar dan termasuk dua puluh hingga lima puluh orang murid yang diajar oleh seorang guru. 
 : 
Gambar : Bilik darjah yang dilengkapi dengan kerusi-meja, bahan bantu belajar dan papan tulis. 
    

Monday, 25 February 2013

Bismillahirrahmanirrahim



"Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang", Assalamualaikum pembuka bicara..di sini kami bermula menulis blog ini. Semoga ilmu yang dikongsi, bermanfaat kepada warga guru keluaran universiti mahu pun IPG. 


K.A.M.I : 

Nama : Rabiatul Adawuia Binti Hj Mursidi.
Asal : Tuaran, Sabah.

Nama : Nur Haziqah Mahirah Binti Ruhizat.
Asal : Kluang, Johor.